LIGA MALAYSIA KEKAL 5 MAC SUSULAN KEBENARAN PROGRAM LATIHAN BERPUSAT

February 9, 2021



Malaysian Football League (MFL) mengesahkan kalendar Liga Malaysia bagi musim 2021 bakal bermula pada 5 Mac 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan pengumuman itu sejajar dengan keputusan pihak kerajaan yang membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin ini iaitu 15 Februari 2021.

Jelas Dato’ Ab Ghani, pihaknya menyambut baik kebenaran pihak kerajaan itu di mana program latihan berpusat menyaksikan tempat latihan dan pergerakan atlet atau pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan dengan penginapan atlet atau pemain perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikut ‘Camp Quarantine’ dan ‘Home Quarantine’ yang telah ditetapkan.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas pihak kerajaan telah membenarkan pasukan-pasukan di dalam Liga Malaysia menjalani sesi latihan secara program latihan berpusat.

“Apa yang pasti, perkhabaran positif ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada industri sukan-sukan tanah air sebaliknya kegembiraan kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menantikan sepak mula liga bola sepak tempatan.

“Susulan pengumuman kebenaran daripada pihak kerajaan, Liga Malaysia akan kembali membuka tirai pada 5 Mac 2021.

“Setiap pasukan telah dimaklumkan tentang perlawanan Liga Malaysia yang akan bermula dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah nanti di mana saya berharap kesemua pasukan kekal berdisiplin dalam menjaga amalan SOP sepanjang penganjuran Liga Malaysia berlangsung.

“Kini tanggungjawab pemain, pegawai dan pasukan adalah mematuhi SOP di mana salah satu langkah iaitu Home Quarantine adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. Kita tidak mahu ada mana-mana pemain, pegawai dan pasukan gagal mematuhi SOP sehingga menyebabkan kes COVID-19 berlaku,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

MFL sebelum ini mengumumkan pihaknya telah memutuskan penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021.

Keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian selepas turut mengambil pandangan serta persetujuan daripada wakil-wakil pasukan pada bulan lalu.

Keputusan untuk meminda tarikh sepak mula Liga Malaysia musim 2021 yang sepatutnya berlangsung bermula pada 26 Februari 2021 disebabkan rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali bersambung sehingga 18 Februari 2021.