LEGA PERLAWANAN TIDAK DITANGGUH PADA BULAN RAMADHAN – JELIUS ATING

May 16, 2018



Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating meluahkan rasa lega apabila perlawanan 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018 tetap dijalankan pada bulan Ramadhan ini. Beliau menjelaskan jika berlaku penangguhan perlawanan sudah tentu jadual akan menjadi semakin padat dan ia akan menjejaskan perancangan Sabah dari segi masa perjalanan pasukan untuk bergerak ke tempat perlawanan terutamanya di semenanjung Malaysia.

"Semakin padat waktu perlawanan semakin sukar perjalanan kami untuk bergerak ketika perlawanan di semenanjung. Masa rehat kami juga akan terjejas," jelas Jelius.

Dalam saingan Liga Premier, sembilan daripada sebelas pasukan berpangkalan di semenanjung Malaysia manakala hanya Sabah FA dan Sarawak berpangkalan di timur Malaysia.

Bekas pemain Sabah itu juga beranggapan menjalankan perlawanan pada bulan Ramadhan dapat mengekalkan prestasi pemain kerana saingan liga adalah lebih kompetitif berbanding mengadakan perlawanan persahabatan andai perlawanan ditangguh.

"Jika tiada perlawanan selama sebulan pasukan boleh mengadakan perlawanan persahabatan dan latihan biasa namun ia tidak se-kompetitif perlawanan liga. Ia bergantung kepada setiap pasukan."

Sabah kini berada pada kedudukan kelima liga dan bakal berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak menentang Felda United pada 24 Mei ini bersamaan dengan hari puasa yang kelapan.

Skuad Sang Badak telah mengumpul lima belas mata dalam sebelas perlawanan dan mereka dalam misi meraih 3 mata di Jengka bagi menyalakan peluang untuk mencapai kelompok dua pasukan terbaik bagi melayakkan diri ke saingan unifi Liga Super Malaysia musim depan.