LAWATAN PENTADBIRAN UNIT PELESENAN KELAB MFL KE MELAKA UNITED FC DAN SRI PAHANG FC

May 4, 2021



Pihak Unit Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) telah membuat lawatan pentadbiran ke pasukan Melaka United FC bermula 19 sehingga 21 April 2021 dan disusuli dengan lawatan ke Sri Pahang FC dari 26 hingga 28 April 2021.

Ketika lawatan ke Melaka United FC, sesi taklimat berkenaan dengan Peraturan Pelesenan Kelab bagi tahun 2021 telah diberikan kepada semua kakitangan pengurusan kelab.

Komitmen yang cukup baik telah diberikan oleh semua kakitangan pengurusan kelab yang terlibat sepanjang tiga hari lawatan pentadbiran ini diadakan.

Pihak pengurusan kelab telah melantik seorang Ketua Pegawai Operasi bagi membantu dalam urusan berkaitan pengoperasian kelab.

Dalam masa tiga hari yang diperuntukan, Melaka United FC berjaya mengemukakan 46 peratus daripada jumlah dokumen yang diperlukan.

 

Bagi lawatan ke Sri Pahang FC, sesi penerangan tentang sistem dan fungsi pelesenan kelab telah dibentangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan pengurusan kelab yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Sri Pahang FC juga telah melantik seorang Ketua Pegawai Operasi bagi membantu Ketua Pegawai Eksekutif dalam urusan pengoperasian kelab.

Sementara itu, Sri Pahang FC dan Persatuan Bolasepak Pahang masih berkongsi pejabat operasi yang sama.

Sri Pahang FC telah berjaya mengemukakan 42 peratus daripada jumlah dokumen yang diperlukan selepas tiga hari lawatan yang diadakan.

Pasukan Melaka United FC telah memohon lesen kebangsaan dan AFC manakala pasukan Sri Pahang FC hanya memohon lesen kebangsaan sahaja.

Pihak MFL mengucapkan selamat maju jaya kepada Melaka United FC dan Sri Pahang FC dalam melengkapkan baki dokumen-dokumen untuk Kitaran Pelesenan Kelab pada tahun ini.