LAPORAN LAWATAN PENTADBIRAN PELESENAN KELAB MFL KE KUALA LUMPUR CITY FC DAN PJ CITY FC

April 7, 2021



Pihak Unit Pelesenan Kelab Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan lawatan pentadbiran ke pasukan Kuala Lumpur City FC dari 29 hingga 31 Mac 2021 dan disusuli dengan lawatan ke PJ City FC bermula dengan pemeriksaan stadium MBPJ pada 26 Mac 2021 dan ke pejabat pengurusan pada 1 dan 2 April 2021.

Pada lawatan ke Kuala Lumpur City FC di pejabat pengurusan mereka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, bantuan dalam penyediaan dokumen untuk dimuatnaik ke dalam sistem pelesenan kelab AFC bagi semua enam kriteria merupakan di antara aspek yang ditekankan dalam lawatan berkenaan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Kuala Lumpur City FC akan mempunyai pejabat pengurusan yang baharu yang terletak di Sri Hartamas.

Pejabat baharu ini masih dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap pada hujung bulan April 2021.

Semua kakitangan pengurusan di bawah pengurusan Kuala Lumpur City FC akan berpindah ke pejabat baharu tersebut dan pemisahan dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan berlaku dan ianya merupakan suatu perkara yang positif ke arah proses penswastaan sepenuhnya.

Dalam masa tiga hari yang diperuntukan, Kuala Lumpur City FC berjaya mengemukakan 38 peratus daripada jumlah dokumen yang diperlukan.

Bagi lawatan ke PJ City FC, pihak Unit Pelesenan Kelab MFL juga memberi penekanan dalam aspek penyediaan dokumen kepada kakitangan pengurusan kelab yang terlibat.

Pihak pengurusan kelab telah mengambil satu langkah proaktif dengan melantik seorang Pengarah Teknikal kelab dari luar negara iaitu Steven Peter Jackson yang berasal dari England bagi membantu pasukan dalam menyediakan DNA dan falsafah bola sepak untuk pasukan PJ City FC.

Di antara pelan jangka panjang kelab adalah mahu melahirkan pemain Home Ground (HG) dikalangan pasukan pembangunan untuk diserapkan ke pasukan utama mereka.

Di dalam Kriteria Sukan, salah satu keperluan adalah perlu menyediakan falsafah permainan dan pembangunan belia.

PJ City FC telah berjaya mengemukakan 23 peratus daripada jumlah dokumen yang diperlukan selepas tiga hari lawatan yang diadakan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL.

MFL mengucapkan selamat maju jaya kepada Kuala Lumpur City FC dan PJ City FC dalam melengkapkan baki dokumen-dokumen untuk Kitaran Pelesenan Kelab tahun ini untuk penyertaan di Liga Malaysia dan pertandingan diperingkat AFC jika layak bagi tahun 2022.