KUCHING CITY MAHU ELAK ZON PENYINGKIRAN, PDRM FC TIDAK AMBIL MUDAH AKSI MENENTANG KELANTAN UNITED FC

July 22, 2021



Kuching City FC menyandarkan harapan kepada penyerang baharu, Michael Chukwubunna Ijezie untuk mencipta impak besar kepada pasukan dalam misi meraih tiga mata berdepan Terengganu FC II dalam aksi Liga Premier, Sabtu ini.

Menurut ketua jurulatih, Irfan Bakti, kelemahan utama pasukan yang sering menjadi punca di atas padang adalah daripada aspek penyudah yang tumpul untuk menjaringkan gol.

Justeru, bekas pengendali Terengganu FC ini menyifatkan kehadiran penyerang kelahiran Nigeria ini diharap dapat menutup kembali kelemahan itu bagi membantu pasukan memenangi perlawanan pada Sabtu ini.

Apatah lagi, kedudukan mereka ketika ini masih belum selamat apabila berada di tangga kelapan dan tidak boleh lagi tercicir mata untuk mengelak daripada terperosok di zon penyingkiran.

“Saya harap keputusan positif dapat diraih sebab kita dah lama tunggu liga bersambung kembali, jadi macam-macam mana pun kita kena cuba untuk mengutip seberapa banyak mata untuk kekal di Liga Premier.

“Kita tidak ambil mudah menentang Terengganu FC II, dan saya sedar masalah besar kami selama ini adalah susah untuk menjaringkan gol.

“Tetapi, dengan penyerang baharu yang kita ada ini menggantikan yang lama iaitu Bryan Jones, saya dapat lihat dia semakin serasi dengan pasukan ini.

“Jadi, apabila makin serasi, rasanya tiada masalah untuk kita harapkan dia dan rakan-rakan lain agar dapat menampilkan aksi terbaik pada Sabtu ini untuk meraih kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail pula menjangkakan perlawanan yang lebih sukar menentang Kelantan United FC pada Ahad ini apatah lagi dengan perubahan pemain dan jurulatih yang dilakukan oleh lawan mereka itu.

Namun, beliau percaya barisan pemain telah melakukan tugas yang cukup baik dalam tempoh persediaan lebih dua bulan ini sepanjang Liga Malaysia berehat dan berharap dapat mengatur langkah kanan dalam perlawanan pertama selepas liga bersambung ini.

“Setakat ini saya boleh katakan pasukan memang memberikan kerjasama yang cukup baik dalam latihan walaupun dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Jadi, momentum mereka memang tengah baik jadi saya hanya nampak sekarang pemain-pemain cukup teruja untuk menanti liga bersambung pada minggu ini.

“Kita tidak boleh jadikan prestasi pada pusingan pertama tempoh hari sebagai ukuran, dan untuk baki perlawanan ini saya anggap sebagai permulaan baru, dan sasaran kami memang ingin kutip tiga mata ke atas Kelantan United,” jelasnya.

Selain Kuching City FC menentang Terengganu FC II, dua lagi perlawanan pada Sabtu adalah membabitkan Kelantan FC yang akan berdepan Skuad Projek FAM-MSN manakala Negeri Sembilan FC melawan Selangor FC.

Baki dua perlawanan lagi akan berlangsung pada Ahad menyaksikan Sarawak United FC menerima kunjungan Perak FC II dan PDRM FC menentang Kelantan United FC.