KHABAR GEMBIRA BUAT PEMINAT LIGA MALAYSIA

April 3, 2021



Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, memberi perkhabaran gembira kepada semua peminat bola sepak tempatan apabila mengesahkan penonton boleh hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier bermula 6 dan 7 April ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan perlawanan projek perintis kemasukan penonton antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat.

Situasi itu turut disokong dengan pematuhan SOP yang ditunjukkan oleh penonton JDT sepanjang perlawanan yang menyakinkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi lampu hijau buat Malaysian Football League (MFL) membenarkan kemasukan penonton.

“Apa yang berlaku hari ini cukup penting kepada penganjuran liga di bawah Malaysian Football League setelah sekian lama menanti kerana akhirnya peminat kembali ke stadium dengan protokol pengurusan yang terperinci dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perlawanan hari ini adalah untuk penonton dan bakal menjadi pembuka laluan mudah kepada aksi-aksi perlawanan bagi kita saksikan kehadiran penonton.

“Saya memuji pengurusan JDT selaku tuan rumah yang banyak membantu terhadap pematuhan SOP dengan penglibatan 260 petugas yang merangkumi 30 pegawai sports bubble, 60 marshal, 40 askar Timbalan Setia Negeri dan 130 anggota polis.

“Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain kerana berdasarkan pemerhatian daripada MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan.

“Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat tapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini,saya boleh katakan tiada masalah.

Boys Of Straits (BOS) yang merupakan kumpulan penyokong juga  dapat mengekalkan tahap disiplin yang tinggi serta dapat mengekalkan penjarakan sosial sepanjang perlawanan, terima kasih saya ucapkan, ” katanya.

Pada perlawanan semalam, penonton dibenarkan masuk ke dalam stadium bermula jam 6 petang sebelum pintu ditutup pada jam 8.30 malam.

Sebanyak dua zon tempat duduk sahaja dibuka melibatkan B dan C dengan setiap penonton wajib menjaga penjarakan sosial dengan jarak dua kerusi sesama mereka sepanjang perlawanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, beliau menyambut baik dengan apa diperkatakan Reezal sambil berharap semua pengurusan pasukan sudah bersedia bagi menerima kemasukan penonton.

“Perkembangan positif yang ditunjukkan di sinj harap menjadi permulaan untuk diikuti di venue-venue lain pada perlawanan ketujuh Liga Super.

“Melalui pewartaan yang membenarkan penyokong boleh masuk ke stadium mulai 1 April, MFL telah bersedia sepenuhnya dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama semua pasukan bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Berdasarkan perkembangan positif menerusi pemantauan perlawanan projek perintis, kesemua perlawanan Liga Super dan Liga Premier selepas ini dibenarkan untuk kemasukan penonton bagaimanapun ia masih tertakluk kepada kelulusan MFL di mana setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.