KEPUTUSAN TEPAT TERUSKAN PERLAWANAN PADA BULAN RAMADHAN – E. ELAVARASAN

May 16, 2018



Liga Malaysia bakal dilangsungkan sepanjang bulan Ramadhan ini dimana perkara ini telah pun dibentangkan oleh Unit Pertandingan Malaysian Football League (MFL) kepada kesemua 24 pasukan bertanding dalam Taklimat Pasukan Liga Super pada 27 Disember 2017.

Ketua Jurulatih Melaka, E. Elavarasan memberitahu pasukan beliau tidak menghadapi apa-apa masalah dalam mengharungi tempoh sebulan itu kerana sudah mengetahui keputusan ini sejak penghujung tahun lalu.

Ketika ditemubual berkenaan persiapan pasukan menjelang perlawanan menentang PKNS FC pada 23 Mei depan, Elavarasan akui tugas beliau sedikit berat namun tetap optimis dengan kemampuan anak buahnya.

"Ya, sudah tentu pemain harus bersedia kerana metabolisma badan mereka akan berubah kerana mereka berpuasa. Ia menambah sedikit tugas saya selaku jurulatih tetapi mereka (pemain Melaka) telah bersedia," kata ketua jurulatih itu.

"Perlawanan juga dianjak pada pukul 10 malam yang mana saya rasa ianya langkah yang sangat bagus" tambah beliau.

Bekas pemain Selangor itu turut memberi pendapat berkenaan perlaksanaan perlawanan pada bulan Ramadhan menyatakan perkara ini telah pun dijelaskan lebih awal dan tidak patut ditangguhkan pada saat-saat akhir.

"Jika mahu mengubahnya sekarang adalah terlalu lambat.

Jelas Elavarasan juga keputusan mengadakan perlawanan ketika bulan puasa amat tepat memandangkan tempoh sebulan mampu menjejaskan prestasi setiap pasukan.

"Andai perlawanan ditangguhkan sudah tentu akan memberi kesan buat pasukan. Sesetengah pasukan sedang dalam prestasi terbaik jadi mereka mahu meneruskan prestasi tersebut.

"Jika perlawanan dihentikan, pasukan itu terpaksa membina semula prestasi pemain. Jadi lebih banyak kekurangan daripada kebaikan."