KEDAH TAMPIL LEBIH GARANG

March 4, 2021



Status selaku naib juara Liga Super musim lalu akan menjadikan penampilan Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi perhatian ramai peminat dan pemerhati pada saingan Liga Malaysia kali ini untuk dijadikan salah satu pasukan pilihan meraih sebarang kejuaraan.

Malah melalui kedatangan Rabih Ataya di bahagian sayap kanan pasti akan menambahkan sengat di jentera serangan serta tengah KDA FC yang turut akan dibantu Syazwan Zainon dan Rozaimi Abd Rahman selain pemain sedia ada seperti Kpah Sherman, Tchetche Kipre, Baddrol Bakhtiar, Azammuddin Akil dan Fadzrul Danel.

Pertahanan KDA FC juga tampak lebih kukuh pada musim ini apabila berjaya mendapatkan pemain import dari Singapura, Anumanthan Kumar yang dijangka bertindak selaku pemain tengah untuk menjadi pelindung benteng pasukan selain Fairuz Zakaria (Pulau Pinang), Rodney Celvin (Selangor), Ariff Farhan Md Isa (Felda United FC), Syazwan Tajudin (Kuala Lumpur) dan Fandi Othman (Kuala Lumpur).

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, yang bakal bersama pasukan buat musim ketiga, tidak mahu menganggap pasukannya antara yang terbaik pada musim ini kerana berasakan masih banyak aspek perlu diperbaiki sebelum saingan Liga Malaysia 2021 bermula.

Namun, beliau berharap semua pemain baharu dapat menyesuaikan diri dengan pantas kerana masa yang semakin suntuk tambahan musim ini juga bakal menyaksikan KDA FC bakal bersaing di pentas Piala AFC.

“Kita tidak boleh cakap ini adalah ‘team’ yang terbaik kerana saya sifatkan pasukan ini seperti baharu kerana banyak pemain kami telah dapatkan pada musim ini.

“Jadi, sudah tentu akan mengambil masa sedikit untuk mereka menyesuaikan diri tambahan persiapan pasukan sedikit tergugat ekoran kita masih berdepan situasi tidak menentu ekoran penularan pandemik COVID-19 yang masih tinggi.

“Namun, saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan kerana bukan pasukan kita sahaja yang tergugat tetapi pasukan-pasukan lain pun sama, apa-apapun kita kena hargai Liga Malaysia masih dapat dijalankan.

“Pemain-pemain baharu memang perlukan sedikit lagi masa untuk sesuaikan diri tetapi setakat ini, saya nampak semua dapat bekerjasama dengan baik dengan pasukan,” katanya.

KDA FC akan membuka tirai saingan berdepan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, pada 5 Mac, jam 9 malam dalam perlawanan Sumbangsih.