JOHOR DARUL TA’ZIM KEKAL AMPUH

March 4, 2021



Musim 2021 memperlihatkan tidak banyak perubahan besar buat juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dilihat masih mempunyai barisan serba lengkap dalam usaha mempertahankan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.

Empat sahaja muka baru diambil JDT pada musim ini iaitu tiga pemain tempatan, Mohamadou Sumareh, Safiq Rahim dan Danial Amier sementara Bergson da Silva menjadi pengganti Diogo bagi slot import selain pengambilan beberapa pemain muda dari skuad JDT II iaitu Arif Aiman dan Feroz Baharudin.

Kehadiran semula bekas pemain, Safiq dijangka menjadi inspirasi besar buat JDT selepas tiga musim meninggalkan skuad Harimau Selatan itu selain memberikan banyak pilihan pemain untuk bertindak selaku perancang pasukan.

Manakala kelibat Sumareh pasti dinantikan oleh peminat JDT selepas aksinya bersama skuad kebangsaan banyak meninggalkan impak selain prestasi yang cemerlang semasa bersama Pahang.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, melalui satu tempoh yang cemerlang apabila memenangi sembilan daripada sebelas perlawanan pada tahun lalu selain kekal rekod tanpa kalah dan beliau sudah tentu meletakkan harapan untuk ulangi rentak yang sama, musim ini.

Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020, Safawi Rasid dijangka akan terus menjadi duri dalam daging buat pertahanan lawan selain Gonzalo Cabrera yang meledak tujuh gol pada musim lalu di pentas Liga Super.

Apa yang menarik kualiti di bahagian tengah JDT yang akan membariskan pemain seperti Natxo Insa, Afiq Fazail, Hariss Harun, Leandro Velazquez, Syamer Kutty Abba dan Nazmi Faiz selain Safiq serta Danial yang pasti memberikan pilihan kepada Mora.

Bahagian pertahanan JDT dijangka akan terus dikemudi oleh pemain utama skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak dan bekas pemain kelab Serie A, Lazio iaitu Mauricio selain dibantu La’vere Corbin-Ong dan Matthew Davies.

JDT akan membuka langkah dengan berdepan Kedah Darul Aman FC pada aksi Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang dijadualkan pada Jumaat di Stadium Sultan Ibrahim, jam 9 malam.