JDT II MAMPU BERI CABARAN

March 3, 2021



Johor Darul Ta’zim (JDT) II dilihat antara ‘Reserve Team’ di Liga Premier yang dijangka mampu memberi cabaran sengit kepada semua pasukan selepas berjaya menamatkan cabaran di tempat kelima Liga Premier pada musim lalu.

Mereka juga merupakan juara bertahan Challenge Cup yang dimenangi pada 2019 kerana pertandingan itu dibatalkan pada musim lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dkeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di bawah sentuhan bekas Pengarah Akademi dan Pencari Bakat Malaga CF, Rafa Gil yang telah bersama skuad JDT II sejak musim lalu, beliau akan dibantu Ramlan Rashid dan Mahadzir Ahmad.

Biarpun bertindak sebagai platform kepada bakat-bakat muda, JDT II turut mengekalkan beberapa pemain senior bagi memastikan skuad berada dalam posisi seimbang untuk beri saingan seperti Adib Zainudin, Gary Steven Robbat, Irfan Fazail dan Kiko Insa.

Ayam tambatan JDT II, Fernando Rodriguez akan menjadi harapan utama buat pasukan dalam memburu gol selepas meledak tujuh gol dalam 10 perlawanan yang diturunkan musim lalu.

Selain itu, harapan di bahagian tengah pasti disandarkan kepada pemain import dari Argentina, Nicolas Fernandez yang telah bersama dengan JDT II sejak musim 2017 selain merupakan ketua pasukan pada musim lalu, dan pemain dari Jepun, Kei Hirose.

JDT II akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang Negeri Sembilan FC pada aksi pembukaan Liga Premier, pada 6 Mac.