DILABEL “SUPERSUB”, ALEX MAHU TERUS BERI IMPAK

April 8, 2021



Pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Azammuddin Akil ingin terus menjadi ‘senjata terakhir’ skuad Hijau Kuning selepas dianggap sebagai “supersub” yang berjaya membantu pasukan meraih kemenangan dalam aksi Liga Super 2021 setakat ini.

Meskipun hadir sebagai pemain gantian dalam 7 perlawanan ketika ini, Azammuddin atau lebih dikenali sebagai Alex berjaya membuktikan kehadirannya tidak sia-sia menerusi beberapa hantaran cantik yang dilakukan untuk membantu kemenangan pasukan termasuk ketika aksi berdepan Selangor FC, Selasa lalu.

Bakal berdepan Terengganu FC pada malam esok, pemain berpengalaman berusia 36 tahun ini tidak kisah sekiranya dia masih lagi diletakkan sebagai pemain simpanan kerana apa yang lebih penting, peluang untuk turun beraksi biarpun hanya beberapa minit perlu dimanfaatkan sepenuhnya sepertimana yang telah dilakukannya dalam beberapa aksi terdahulu.

“Saya tidak kisah jika tidak berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan setakat ini sebab walaupun turun sebagai pemain gantian, saya tetap akan bagi 100 peratus untuk pastikan kami menang.

“Saya boleh anggap nasib saya baik apabila dapat buat hantaran yang tepat kepada rakan sepasukan untuk raih gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, dan azam saya adalah untuk terus bagi impak positif kepada pasukan ini terutamanya pada saat-saat kritikal.

“Alhamdulillah, saya boleh katakan tahun ini akan menjadi tahun untuk saya dapat balik momentum sebab musim-musim lepas agak bergelut juga memandangkan saya berdepan kecederaan buku lali pada musim 2018 sebelum betul-betul ambil masa untuk cergas.

“Jadi, selagi diberi peluang, saya akan pastikan kami dapat fokus sebaiknya kerana memang sasaran pasukan untuk memastikan tiga mata dalam tangan pada malam esok,” katanya.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak konsisten dengan empat kemenangan berturut-turut untuk berada di tangga kedua liga ketika ini manakala TFC pula di tangga keempat selepas gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terdahulu.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui tugas yang cukup getir untuknya malam esok dalam memastikan pasukan dapat menghasilkan sesuatu bagi raih kemenangan di saat beliau kehilangan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan.

Namun, penyerang import, David da Silva yang kini sudah pulih daripada kecederaan diharap mampu untuk cipta impak sekiranya diturunkan dalam aksi di Stadium Darul Aman, Kedah.

“Memang saya boleh katakan sekarang tugas yang getir untuk kami sebab susah nak menang dalam beberapa aksi sebelum ini apabila berdepan satu kekalahan dan tiga seri.

“Jadi, mahu atau tidak kena cuba juga untuk menang pada malam esok walaupun kita sedar Kedah sedang dalam prestasi yang konsisten dan mana-mana peluang yang ada depan mata kena manfaatkan sepenuhnya”, jelasnya.

Hanya satu sahaja perlawanan Liga Super 2021 akan berlangsung pada malam esok, manakala empat perlawanan membabitkan Kuala Lumpur City FC menentang Sri Pahang FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu PJ City FC, UiTM FC melawan Melaka United FC dan Selangor FC yang bakal menerima kunjungan Perak FC akan berlangsung pada Sabtu.

Baki satu lagi perlawanan iaitu Penang FC menentang Sabah FC akan diadakan pada Ahad.