BERI SAYA MASA – WAN ROHAIMI

April 10, 2021



Ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui masih perlu masa untuk mengembalikan prestasi terbaik pasukan selepas mengambil tugas selaku pengendali sejak awal April lalu.

Beliau sudah mengenal pasti kelemahan ketara pasukan selepas dua perlawanan sejak membimbing pasukan ini di mana barisan pemain gagal mencari penyudah berkesan selain kawalan bola yang kurang baik memudahkan lawan mengambil peluang yang ada untuk menguasai perlawanan.

Justeru, amat penting untuknya mencari formula terbaik dalam memastikan pemain yang sedia ada ini tidak melakukan kesilapan sama ketika menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), tempoh hari bagi berdepan Perak FC II malam esok.

Mengakui ia bukan mudah, tetapi pengendali berusia 45 tahun itu percaya anak buahnya akan menemui jalan keluar dalam masa terdekat untuk memperagakan aksi yang lebih mantap sekali gus memperbaiki kedudukan yang kini di tangga kedua tercorot.

“Lepas dua perlawanan, saya sudah nampak banyak perubahan positif dan kelemahan juga saya sudah dapat lihat khususnya di bahagian depan apabila pemain masih kurang kreativiti untuk mencipta peluang.

“Tetapi, kita sudah melakukan penambahbaikan untuk cuba atasi masalah-masalah seumpama itu dalam aksi akan datang dan percaya barisan pemain dapat pamer aksi yang lebih matang selepas ini.

“Cuma saya datang ke sini, dengan misi bukan untuk ubah semuanya dalam sekelip mata dan saya harap dapat beri ruang kepada saya untuk berkarya bagi ubah prestasi pasukan ini dengan lebih baik”, jelasnya.

Wan Rohaimi ditemui dalam Majlis Perasmian Pejabat Operasi Kelab PDRM FC semalam di mana beliau melahirkan rasa teruja dengan adanya fasiliti latihan yang lebih baik bersesuaian dengan pasukan yang kini berstatus kelab.

Jelasnya, dengan adanya fasiliti terbaik, maka tiada lagi alasan untuk barisan pemain tidak beraksi dengan lebih baik selain mengharapkan dengan pembaharuan yang ada ini dapat menyuntik moral pasukan lebih tinggi.

“Inilah budaya kerja profesional yang sebenar apabila kita sudah berstatus kelab untuk ada fasiliti terbaik ini.

“Semestinya rasa teruja sebab saya sudah lama dalam bidang bola sepak ini, dan dengan adanya pembaharuan daripada segi fasiliti seperti ini menandakan kelab ini serius untuk bergerak lebih jauh.

“Daripada segi pejabat, bilik persalinan pemain, bilik mesyuarat dan sebagainya, itulah cara kita bekerja yang profesional dalam bidang ini”, jelasnya.

Dua aksi Liga Premier akan berlangsung pada malam ini membabitkan Kelantan FC dan Kuching City FC, manakala Sarawak United FC akan menentang Skuad Projek FAM-MSN.

Selain perlawanan antara PDRM FC dan Perak FC II malam esok, satu lagi perlawanan adalah antara JDT II dan Selangor FC 2.