AKSI PADA BULAN PUASA BUKAN HALANGAN BUAT KEDAH FA – YUSDI MADEONUS

May 16, 2018



Perancangan Kalender Liga Malaysia 2018 telah menetapkan perlawanan Liga Malaysia akan tetap berlangsung selepas diambil kira beberapa faktor dan telah dimaklumkan kepada semua 24 pasukan semasa sesi Taklimat Pasukan Liga Malaysia pada 27 Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah FA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus berkata perkara ini telah pun dijelaskan secara terperinci oleh pihak Unit Pertandingan Malaysia Football League (MFL) dan pihak Kedah FA telah pun sedia maklum tentang perkara tersebut.

"Keseluruhan pasukan Kedah sudah sedia maklum tentang perancangan Kalendar Liga Malaysia tahun ini, dan bagi menghadapi perlawanan pada bulan puasa ini kami sudah melakukan persiapan awal", kata Yusdi.

Mengulas lanjut berkenaan isu ini, Yusdi berkata Kedah FA tidak menganggap bermain ketika bulan puasa menjadi satu halangan malah menjadikan cabaran ini dalam meningkatkan prestasi pasukan untuk jangka masa panjang.

"Bagi kami, bulan Ramadhan bukan satu kekangan buat pasukan jika perlu bermain. Kita hanya perlu melakukan persedian bagi menyesuaikan diri dalam menempuh perlawanan bulan ini.

"Semua pasukan majoritinya adalah pemain beragama Islam dan mereka sudah biasa dengan situasi ini kerana pada tahun 2015 juga sesetengah daripada mereka telah melalui situasi seperti ini.

Yusdi juga beranggapan jika perlawanan ditangguhkan sepanjang bulan Ramadhan, akan timbul isu kepadatan jadual dan menjejaskan prestasi pasukan buat Kedah FA serta pasukan-pasukan lain.

Beliau turut menekankan isu kontrak beberapa pemain Kedah akan terjejas jika terlalu banyak perlawanan ditangguh.

"Saya melihat jika berlaku penangguhan sudah tentu akan memberi kesan kepada tarikh-tarikh perlawanan selepas ini. Di KFA, isu kontrak pemain akan timbul kerana kontrak mereka dirangka mengikut jadual musim.

"Jika berlaku penangguhan akan timbul isu berkenaan kontrak pemain dan sudah tentu kami tidak mahu ia berlaku."